Tuesday, November 23, 2010

Darah Dan Personaliti

Assalamualaikum dan selamat malam. Rasa nak berkongsi tentang darah dan personaliti. Di Jepun, pekerja akan dikumpulkan mengikut jenis darah yang sama untuk melakukan sesuatu pekerjaan atau tugasan. Seperti yang diketahui, ada empat jenis darah iaitu A, B, AB dan O. Di sini terdapat video yang mungkin boleh menggambarkan personaliti individu berdasarkan jenis darah mereka. Hope you will enjoy it!

Thursday, November 18, 2010

Pengorbanan Yang Hakiki

Pengorbanan Yang Hakiki

Allahuakbar, Allahuakbar,  Allahuakbar, Walillahilhamd.
Allah maha besar, Allah maha besar, Allah maha besar, dan segala pujian hanya bagi Allah.

Setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Aidiladha, bacaan takbir pasti akan berkumandang di radio, televisyen, mahupun di masjid-masjid yang tersergam indah dan surau-surau berhampiran rumah. Rasa sayu hati mendengar ungkapan-ungkapan takbir yang menggambarkan kebesaran Allah di hari yang mulia. Betapa Allah itu maha agung dan tiada tuhan yang layak disembah melainkanNYA. Sebagai hamba, kita perlu rasa bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk mendengar dan mengucapkan takbir pada hari yang mulia ini.

Sejarah Yang Tidak Mungkin Dilupakan

Di sini, kita perlu melihat kembali sejarah dan peristiwa yang berlaku pada zaman para nabi sehingga para sahabat untuk benar-benar kita mendalami atau menghayati ‘ruh’ pengorbanan yang sebenarnya sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini. Sudah berulang kali kita mendengar tentang peristiwa Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail setiap kali menjelang tiba Hari Raya Aidiladha. Di sekolah mahupun di kawasan-kawasan perumahan, para penceramah tidak akan lupa untuk menyampaikan kisah ini walaupun hanya selingan sahaja. Namun begitu, mari kita juga mendalami kisah Habil dan Qabil yang merupakan manusia pertama yang melakukan penyembelihan atau pengorbanan binatang dan begitu juga pengorbanan manusia di muka bumi Allah ini.

Mengikut sejarah, Habil dan Qabil telah dijodohkan dengan pasangan kembar yang berlainan iaitu Labuda, adik kepada Habil dan Iqlima, adik kepada Qabil. Namun begitu, keputusan tersebut tidak menyenangkan hati Qabil kerana Labuda tidak memiliki wajah yang cantik setanding Iqlima. Lalu Nabi Adam as memerintahkan kedua-duanya melakukan korban dan korban siapa yang diterima Allah, dia akan dikahwinkan dengan saudara kembar Qabil yang cantik itu.

Lalu kedua-duanya melakukan korban. Sebagai pengembala kambing, Habil mengorbankan seekor kambing yang sihat manakala Qabil yang bekerja sebagai petani memilih gandum yang layu sebagai hasil korbannya. Setelah itu, kedua-dua mereka dan Nabi Adam as pergi ke sebuah bukit untuk mempersembahkan hasil korban mereka kepada Allah. Kedua-duanya meletak hasil korban di atas puncak bukit di tempat yang berasingan. Dengan kekuasaan Allah, muncul api dari langit dan menjilat hasil korban Habil yang menandakan hasil korban Habil itu diterima di sisi Allah. Seperti firman Allah dalam Al-Quran:

“Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua-dua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya ketika mereka mempersembahkan korban maka diterima daripada salah seorang daripada mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil): Aku pasti membunuhmu! Berkata Habil: Sesungguhnya Allah (SWT) hanya menerima korban daripada orang yang bertakwa.” (Surah al-Maidah, ayat 27)

Kita  wajib menelusuri pengorbanan yang dilakukan Habil dan Qabil. Di akhir ayat ke 27, Surah Al Maidah ini menyatakan firman Allah bahawa hanya korban orang yang bertakwa sahaja diterima di sisiNYA. Tetapi persoalannya apakah definisi tepat untuk makna takwa? Sahabat Umar al-Khattab pernah bertanya maksud takwa kepada sahabat Ubai bin Kaab. Ubai berkata, "Pemahkah kamu berjalan di sebatang jalan yang dipenuhi onak dan duri?" Jawab Omar, "Ya, pemah." Ubai bertanya lagi, "Apa yang kamu lakukan ketika itu?" Omar berkata, "Aku berhati-hati dan bersungguh-sungguh." Berkata Ubai, "Itulah takwa." Daripada jawapan Ubai bin Kaab, takwa bermaksud berhati-hati dalam hidup supaya tidak melakukan perkara yang haram serta bersungguh-sungguh melaksanakan setiap amal ibadah yang dituntut.  Tidak semua orang yang beriman bertakwa kepada Allah. Justeru, dalam surah Ali Imran ayat 102, Allah mengarahkan orang yang beriman bertakwa melalui firmannya yang bermaksud,"Wahai mereka yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar- benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam”.

Belia Dan Pengorbanan

Penulis pasti bahawa usia Habil dan Qabil ketika melakukan pengorbanan ini adalah pada peringkat remaja atau belia. Walaupun tiada fakta yang sahih untuk membuktikannya, secara deduksi seseorang individu itu akan dikahwinkan pada usia matangnya dan peringkat usia matang adalah di fasa remaja atau belia. Namun, bukan itu menjadi persoalan utama tetapi perkara pokok yang ingin disampaikan ialah betapa manusia itu dituntut untuk berkorban apabila tiba masanya tanpa menghiraukan usia muda atau tua. Begitu juga dengan kisah Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as. Pada ketika tuntutan Allah terhadap Nabi Ibrahim untuk melakukan pengorbanan terhadap Nabi Ismail as, usia Nabi Ibrahim as dikatakan sudah lanjut manakala Nabi Ismail as masih muda.

Oleh yang sedemikian, golongan belia perlu bersedia dari segi fizikal dan mental untuk melakukan pengorbanan. Walaupun hakikatnya pengorbanan itu bukanlah dari segi material tetapi pengorbanan dari segi jiwa dan rohani dalam menunaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim perlu diberi perhatian. Tambahan pula, ketika usia menginjak ke alam dewasa, pelbagai tuntutan tanggungjawab yang digalas oleh golongan belia. Antaranya tanggungjawab sebagai pelajar, tanggungjawab sebagai pekerja, tanggungjawab sebagai anak, tanggungjawab sebagai suami atau isteri mahupun bapa atau ibu bagi mereka yang sudah berumah tangga. Namun begitu, jangan kita lupa dan ralik dengan dengan tanggungjawab utama kita sebagai HAMBANYA. Antara tuntutan daripada Allah kepada hambaNYA ialah mengajak manusia melakukan segala suruhan, meninggalkan segala larangan Allah. Firman Allah:

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam). Dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (Ali Imran: 104)

Kadangkala, pertembungan antara tuntutan-tuntutan ini sering berlaku. Antaranya, tuntutan komitmen sebagai pelajar dengan tanggungjawab dakwah yang telah dinyatakan sebentar tadi. Bahkan, tuntutan itu menjadi berganda-ganda untuk dilakukan pada masa yang sama. Contohnya ialah pelajar IPT. Apabila menjelang minggu peperiksaan, pulang ke rumah untuk memohon restu ibu bapa adalah perkara yang penting dan berlaku pula pertembungan dengan program usrah yang ditetapkan pada hujung minggu. Tambahan lagi, pelajar tersebut belum mula mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan yang akan berlangsung selepas dia pulang dari kampung. Situasi ini adalah situasi yang biasa berlaku menjelang minggu peperiksaan yang memerlukan individu itu melakukan pengorbanan. Kuasa untuk memilih juga berada di tangan golongan belia untuk menunaikan kewajiban utama dan melakukan pengorbanan terhadap tuntutan yang lain demi melaksanakan tuntutan yang lebih besar. Penulis tidak akan memberi jawapan kepada persoalan ini, tetapi yang pasti setiap individu mempunyai senarai keutamaan tanggungjawab mengikut hierarki tersendiri.

Namun begitu, Allah sudah memberi jalan mudah untuk hambanya melakukan pengorbanan dengan hati yang tenang. Segalanya kembali kepada niat kita dalam melakukan pengorbanan. Seperti sabda Baginda SAW:

Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.

Oleh yang sedemikian, setiap apa yang dilakukan hatta sebarang pengorbanan sekalipun haruslah disandarkan kepada Allah SWT. Keikhlasan hati dalam melakukan pengorbanan kerana Allah SWT pasti akan mendatangkan ganjaran terutama buat mereka yang menjadi penolong kepada agamaNYA iaitu rezeki yang Allah berikan daripada arah yang tidak diduga seperti yang dijanjikan dalam Surah At Talaq, ayat 3 tetapi dengan syarat kita perlulah bertawakal kepada Allah kerana Allah yang menentukan segalanya.

Penutup

Pengorbanan adalah sebahagian daripada tuntutan jihad. Manakala jihad adalah tuntutan dalam Islam apabila tiba masanya. Ini bermakna, secara deduksi juga pengorbanan merupakan satu tuntutan dalam Islam. Selain itu, salah satu Rukun Bai’ah yang ditulis oleh Asy-Syahid Imam Hassan Al Banna ialah Tadhiyyah (Pengorbanan) iaitu “mengorbankan  harta, waktu, kehidupan dan segalanya untuk mencapai matlamat yang ingin dicapai. Tidak ada jihad di dunia ini  yang  tidak  disertai  dengan  pengorbanan.  Jangan  sekali-kali  unsur  pengorbanan  ini  digugur dalam jalan fikrah ini kerana  sesungguhnya  di  sana  ada  balasan dan pahala yang besar dan  indah  untuknya”.

Segala pilihan terletak di tangan kita dan kita berupaya untuk menentukan atau membuat pilihan sama ada untuk berkorban atau tidak dan apa yang hendak dikorbankan. Semoga Aidiladha pada kali ini dapat kita bersama mengahayati, mendalami dan mengamalkan konsep dan erti pengorbanan yang hakiki.

Salam Aidiladha 1431H

Tuesday, October 5, 2010

Hujan Dan Matahari

Assalamualaikum dan selamat malam.

Situasi di dalam dewan kuliah pada waktu tengahari :
Mendengar kuliah daripada pensyarah dengan khusyuknya sehingga tidak dengar dan sedar rintik hujan lebat di luar sana.

Bila terdengar dan tersedar :
Hati rasa tak tenteram mengingatkan pakaian di jemuran. Jari mula menaip mesej meminta pertolongan rakan di kolej untuk mengangkat jemuran yang hampir kering. Namun hampa apabila mendapat jawapan pakaian sudah pun basah kuyup.

Hati hanya mampu berzikir " subhanallah, subhanallah, subhanallah " dan istighfar " astaghfirullah, astaghfirullah, astaghfirullah ". Lalu terdetik hati untuk bertanya mengapa dan mengapa.

Hati mula berperang dengan emosi sendiri. Rasa resah dan gelisah mula menguasai diri mengenangkan pakaian yang basah kuyup. Lalu hati berkata " takpa, mungkin ada hikmahnya, sabar". Mula merasakan diri mampu dikawal dan menghilangkan pertanyaan mengapa dan mengapa.

Selepas tamat kuliah :
Hujan masih turun walaupun tidak lagi lebat. Hati tidak lagi gelisah memikirkan pakaian yang basah kuyup. Ketika di dalam bas, mata mula melihat sinaran matahari semakin terang seperti hujan tidak pernah turun membasahi bumi. Hati tiba-tiba bertukar ceria dan berbunga. Subhanallah. Lalu teringat sebuah mutiara kata " Kadang-kadang Allah hilangkan sekejap matahari dan gantikan pula dengan guruh, kilat dan petir. Puas kita mencari di mana matahari. Tapi, rupa-rupanya Allah nak beri kita pelangi yang indah"

Kini baru saya faham dan merasai. Saya juga berharap agar sahabat-sahabat yang lain akan merasainya seperti saya.

Di sebalik resah dan gelisah ditimpa sesuatu ujian atau musibah, kita perlu banyakkan bersabar. Sudah termaktub di dalam Surah Al Baqarah, ayat 45:

"Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan salat. Dan salat itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk"

Dan yakinlah, bersabar itu satu kemanisan di saat Allah menunjukkan kita kebaikan dan hikmah dalam sesuatu ujian. Akhirnya kita merupakan orang yang berjaya menahan diri daripada nafsu amarah.

Jom tanam sifat sabar dalam diri!

Monday, October 4, 2010

Decir El Veras

Assalamualaikum dan selamat petang.

Tiga tahun yang lalu saya hanya melihat dan membaca tulisan-tulisan artikel di blog kawan-kawan. Saya juga merasai betapa 'panasnya' saat itu dengan wujudnya blog yang pelbagai seperti cendawan tumbuh lepas hujan. Ada blog yang mempunyai tujuan tertentu dan tidak kurang sekadar menjadi tempat luahan perasaan.

Kini, mungkin masanya sudah tiba untuk saya mempunyai blog sendiri sebagai tempat untuk berkongsi ilmu dan pengalaman supaya dapat memperbaiki diri saya sendiri dan orang lain juga. Maka wujudlah Decir El Veras.

Decir El Veras atau Decir La Vedad (bahasa Sepanyol) bermasksud ' Say The Truth' dalam bahasa Inggeris. Jika dialih kepada bahasa Melayu pula ianya berbunyi Katakan Yang Benar. Moga coretan saya di dalam blog ini berlandaskan perkongsian yang tulus dan melatih diri untuk menulis dengan baik. Insyaallah.

Moga kita sentiasa berusaha dan berdoa untuk mencari dan meniti arus kehidupan dengan kebenaran walaupun kadangkala kebenaran itu menyakitkan dan sukar untuk diterima.